JASIN – Seorang warga emas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Jasin, hari ini atas pertuduhan menembak mati lima ekor lembu di kebun sawit miliknya, April lalu.
Tertuduh, Midon Lambak, 79, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh.
Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman bagi membolehkan pihak pendakwaan membawa barang kes, iaitu senjata jenis shotgun 12 Bore jenis Baretta A303 yang digunakan dalam kejadian itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah menembak menggunakan senjata jenis shotgun berkenaan terhadap lima ekor lembu sehingga menyebabkan kematian.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 7.30 pagi di kebun Felda Bukit Senggeh, Nyalas, Asahan, Jasin pada 15 April lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman maksimum satu tahun atau dengan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 39(a) Akta Senjata 1960.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sengaja melakukan khianat dengan membunuh atau mencacatkan seekor lembu yang bernilai RM5,000 sehingga menyebabkan kematian pada masa, tempat dan tarikh yang sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-dua sekali.
Difahamkan, tertuduh bertindak demikian kerana marah apabila pemilik lembu-lembu tidak mengendahkan permintaannya supaya ternakan itu diawasi daripada menceroboh kebun sawitnya.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Warga emas itu yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah kerana tidak bekerja, tinggal seorang diri di rumah dan kerap diserang penyakit angin ahmar kebelakangan ini.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 17 Julai ini sebagai tarikh fakta dan hukuman. – MalaysiaGazette