KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin telah memfailkan permohonan membatalkan saman RM10 juta kepada Mahkamah Rayuan baru-baru ini.
Zuraida yang juga bekas menteri telah diperintahkan Mahkamah Tinggi bulan lepas untuk membayar saman sebanyak RM10 juta kepada PKR kerana menang atas tiket parti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) sebelum bertindak keluar parti selepas PRU.
Peguam Zuraida, Nizamuddin Abdul Hami mengesahkan notis rayuan sudah dihantar dua hari lepas melalui firma guaman, Tetuan Zharif Nizamuddin.
Sebelum ini Zuraida memberitahu MalaysiaGazette, tuntutan terhadapnya tidak berasas dan mendakwa keputusan itu jelas bercanggah dengan hak rakyat untuk menyertai dan meninggalkan sesuatu pertubuhan.
“Keputusan ini adalah salah kerana ia melucutkan hak rakyat untuk bersekutu atau berpisah yang merupakan hak asasi dalam Perlembagaan Persekutuan. Saya akan tetap merayu, bukan untuk diri saya sahaja sebaliknya untuk tegakkan hak penting ini yang menjadi milik semua rakyat Malaysia.
“Ini juga bertentangan dengan dasar awam dan bertentangan dengan prinsip asas demokrasi. Juga tiada justifikasi pada tuntutan RM10 juta,” katanya.
Pada 23 Jun lepas, Mahkamah Tinggi telah membenarkan saman PKR untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana melanggar syarat bon yang mengikat kepada parti.
Mahkamah juga memerintahkan Zuraida membayar kos RM50,000 kepada PKR.
Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati hujahan Zuraida bahawa bon itu ditandatanganinya atas alasan dipaksa adalah tidak berasas.
PKR memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan pada 28 September 2020 melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, selaku plaintif dengan menamakan Zuraida selaku defendan.
Parti Keadilan itu mendakwa Zuraida bersetuju membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.
Zuraida dalam satu kenyataan bersama 10 Ahli Parlimen PKR yang lain mengumumkan peletakan jawatan, namun beliau kekal sebagai Ahli Parlimen Ampang iaitu kerusi yang dimenanginya atas tiket PKR dan seterusnya membentuk blok baharu dikenali Perikatan Nasional (PN) pada tahun 2020. -MalaysiaGazette