Amrizal (depan), kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, Amizal sedang membantu menguruskan rakyat Malaysia untuk penerbangan pulang- ke tanahair.

KUALA LUMPUR – 10 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Himachal Pradesh, India telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi pada pukul 1.56 petang (waktu tempatan) tadi melalui penerbangan Malaysia Airlines MH173.

Setibanya kumpulan tersebut dari Bandar Manali pada pagi Jumaat, 14 Julai 2023, urusan penerbangan kumpulan ini telah diselaraskan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dengan kerjasama Malaysia Airlines.

Kumpulan ini dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.01 malam ini.

Kementerian Luar Negeri berkata, hasil usaha sama dan tindakan pantas Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi bersama pihak berkuasa Kerajaan India, kumpulan tersebut berjaya dievakuasi menerusi jalan darat dari Bandar Manali selama 23 jam, bermula pada pagi hari Khamis, 13 Julai 2023 dan tiba dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi pada pagi hari Jumaat, 14 Julai 2023.

“Kementerian ini ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membawa pulang kumpulan tersebut, khususnya kerjasama dan keprihatinan
pihak berkuasa Kerajaan India yang telah membantu menjayakan misi pencarian dan penghantaran pulang rakyat Malaysia yang terkandas akibat bencana ini,” katanya.

Dalam masa sama, kementerian ini juga menggesa rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk terus berdaftar dengan pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara yang
dikunjungi bagi memastikan bantuan konsular yang sewajarnya akan dapat diberikan dengan segera kepada mereka yang memerlukan, terutamanya ketika situasi bencana
seumpama ini. – MalaysiaGazette