Ucapan takziah yang dikongsi Dr. Zaliha di media sosial.

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan Dr. Zaliha Mustafa menzahirkan rasa simpati terhadap kematian seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.

Zaliha dalam kenyataan ringkas turut menyampaikan ucapan takziah kepada ahli keluarga kanak-kanak berkenaan, allahyarhamah Dea Maisarah Bada.

“Kejadian tersebut sedang dalam siasatan pihak berkuasa dan saya memohon kerjasama semua pihak untuk menghormati privasi keluarga.

“Bersama kita mendoakan agar roh Allahyarhamah aman dan berada dalam lindungan Yang Esa. Semoga keluarga Allahyarhamah tabah menghadapi ujian berat ini,” ciap beliau di Twitter.

HTAR dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan kematian seorang kanak-kanak ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan, baru-baru ini.

Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, kanak-kanak itu hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HTAR bersama bapanya pada 9 Julai lalu.

Menurut beliau, keadaan kanak-kanak berkenaan dalam keadaan lemah ketika berada di HTAR.

Pesakit berkenaan sudah diberikan rawatan yang sewajarnya termasuk oleh pakar perubatan kecemasan namun pesakit tidak dapat diselamatkan.

Katanya, punca kematian masih dalam siasatan Jabatan Perubatan Forensik HTAR.

Kes kematian kanak-kanak itu tular di media sosial termasuk dakwaan kanak-kanak terbabit lewat diberi rawatan sehingga terpaksa menunggu lebih 40 minit dalam keadaan sesak nafas.

Bapa kanak-kanak terbabit dalam perkongsian melalui beberapa video di Facebook menjelaskan mengenai bagaimana tindakan pihak hospital pada hari kejadian.

Beliau mendakwa anaknya juga diikat ketika diberikan rawatan oleh pihak hospital.

Selain itu, beliau mendakwa pihak hospital membuat laporan palsu berhubung kematian anaknya dengan mengatakan mangsa sudah meninggal dunia ketika dihantar untuk mendapatkan rawatan.-MalaysiaGazette