rampasan dadah jenis MDMA yang dirampas daripada lelaki tempatan oleh polis di Ibu negara awal pagi Jumaat. Ihsan IPD Brickfields

KUALA LUMPUR – Tindakan berani seorang lelaki yang cuba menyogok wang sebagai rasuah untuk dilepaskan selepas tertangkap kerana menyimpan dadah di dalam kenderaannya memakan diri apabila ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata,  sepasukan anggota Team Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields telah menahan dan memeriksa sebuah kereta Proton Saga yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan di Jalan Puchong Mutiara.

“Semasa pemeriksaan dijalankan, suspek telah menyerahkan kepada pihak Polis satu bungkusan kertas yang mengandungi serbuk dadah jenis MDMA dengan anggaran berat keseluruhan berjumlah 204.4 gram.

“Seterusnya, pihak polis turut merampas wang tunai berjumlah RM400 setelah suspek cuba menawarkan rasuah sebagai dorongan dia dilepaskan daripada tangkapan polis,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Tambah beliau,semasa proses tangkapan ke atas suspek pertama itu dilakukan polis juga menahan seorang lagi suspek lelaki yang mengaku sebagai kawan kepada suspek kerana  cuba untuk meminta polis melepaskan suspek pertama itu.

Berikutan itu katanya, kedua-dua suspek yang berusia 21 dan 42 tahun yang bekerja sebagai juruteknik pendingin hawa dan rampasan dadah dibawa ke IPD Brickfields untuk tindakan lanjut.

“Kedua-dua mereka kini disiasat di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati dan Seksyen 17 (b), Akta Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Rasuah Malaysia 2009.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti
jenayah dan rasuah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang,” tegasnya.-MalaysiaGazette