KUANTAN – Projek Pembangunan Tanaman Kelapa Sawit seluas 402.33 hektar di Kampung Darat Air Hitam, Mukim Lepar di Pekan mematuhi segala syarat yang ditetapkan.
Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) seterusnya menyangkal spekulasi berhubung projek berkenaan tidak mendapat kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
Pengerusinya, Datuk Zamri Yaakob berkata pihaknya telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar pada 29 June 2021.
”Pelaksanaan kerja-kerja penanaman projek kelapa sawit bermula pada tahun 2022 di Kampung Darat Air Hitam, Mukim Lepar, Daerah Pekan.
”PASFA telah memohon dan menerima kelulusan Laporan EIA daripada Jabatan Alam Sekitar pada 29 Jun 2021 melalui surat rujukan JAS.CHQ.600-2/12/25(13) bagi projek pembangunan tanaman kelapa sawit seluas 402.33 HA pada Lot pt 5783 H.S (D) 5356 di Kg. Darat Air Hitam, Mukim Lepar.
”Kelulusan adalah berdasarkan laporan yang telah dikeluarkan oleh jururunding EIA, Enviroconsult Services melalui surat rujukan ENVIROCONSULT/EIA/PASFA-06052021 bertarikh 6 Mei 2021 yang diterima pada 27 Mei 2021,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurut Zamri, laporan EIA berkenaan telah dikaji dengan teliti dan telah dibincangkan semasa mesyuarat jawatankuasa EIATRC di Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Pahang dan dikemas kini pada 16 Jun 2021.
Tambahnya, projek tanaman kelapa sawit dibangunkan mengikut syarat-syarat seperti mana yang telah ditetapkan oleh JAS termasuk projek berfasa bagi mengurangkan impak kesan hakisan dan kelodakan kepada sungai.
Syarat lain perlu dipatuhi seperti mengawal pembakaran terbuka di mana tiada akiviti pembakaran terbuka serta tiada kerja-kerja pembukaan tanah dan penanaman kelapa sawit di zon badan air di samping menyediakan zon penampan diantara kawasan tanam dan kawasan tersebut.
Zamri berkata, pembangunan kelapa sawit meningkatkan taraf sosio ekonomi ahli peladang yangdijangka siap dalam tempoh tiga tahun secara berfasa di mana hasil daripada pembangunan kelapa sawit di ladang ini dapat membantu seramai 80,000 ahli peladang di seluruh negeri.
”PASFA juga sentiasa mengambil perhatian dan mematuhi arahan JAS yang dikenakan dari semasa ke semasa agar kejadian yang tidak diingini dan kesan buruk kepada alam sekitar tidak berlaku,” katanya.
Terdahulu pada awal Julai lalu, sebuah portal melaporkan ada gesaan oleh pihak tertentu untuk menarik balik syarat EIA di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette