YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghadiri Program Ramah Mesra Bersama Pesawah, Nelayan, Penoreh dan Pekebun Kecil Peringkat Negeri Kedah, di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Alor Setar, 15 Julai 2023. - SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri NO SALES; NO ARCHIVE; RESTRICTED TO EDITORIAL USE ONLY. NOTE TO EDITORS: This photos may only be used for editorial reporting purposes for the contemporaneous illustration of events, things or the people in the image or facts mentioned

ALOR SETAR – Kerajaan Perpaduan akan memastikan nasib pesawah padi terbela dengan meningkatkan pendapatan mereka, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau berkata beberapa projek rintis bagi penanaman padi lima musim dalam dua tahun telah dijalankan antaranya oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah yang bertujuan meningkatkan hasil pengeluaran padi.

Anwar berkata sebanyak RM3 bilion diperlukan untuk menaik taraf infrastruktur di kawasan sawah padi bagi membolehkan penanaman padi lima musim dalam dua tahun dapat dilaksanakan.

Justeru, Anwar menggesa pesawah untuk memberikan kerjasama dalam menjayakan program itu bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi yang sekali gus dapat meningkatkan pendapatan pesawah.

“Kalau ditanya apa niat Anwar? Saya kata saya nak pastikan dengan kerjasama rakan-rakan saya bahawa nasib pesawah padi di bawah pentadbiran kita yang tegas… kita nak tentukan pendapatan betul-betul tinggi, daripada RM1,200 naik ke RM1,800 sebulan,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian semasa berucap pada program Sentuhan MADANI peringkat Kedah bersama Peladang, Penternak, Nelayan, Penoreh dan Pekebun Kecil di Ibu Pejabat MADA di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Anwar berkata antara infrastruktur yang perlu dinaik taraf ialah sistem pengairan dan jalan raya selain perbelanjaan input pertanian.

“Kita bincang bersama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, satu agensi yang sangat penting bukan sahaja di negeri Kedah tapi untuk negara Malaysia.

“Mereka kata kalau nak jayakan projek tanam lima musim dua tahun ini, kena ada beberapa infrastruktur, tali air, jalan dan macam-macam. Saya kata berapa? Dia jawab bukan untuk tahun ini, kita mesti mula untuk dua tiga tahun akan datang, tiga tahun paling kurang, mesti siap RM3 bilion,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata pengeluaran padi dalam negara sangat penting seperti yang terkandung dalam Dasar Agromakanan Negara bagi menjamin sara diri pengeluaran makanan.

“Negara tidak boleh import sepenuhnya, kalau apa-apa jadi kita mesti ada keperluan yang disebut sebagai sara diri daripada 50 peratus, sasarannya 65 peratus,” kata Anwar.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast