Hospital Melaka

MELAKA – Melaka masih kekurangan 50 doktor untuk keperluan semua hospital dan klinik kesihatan awam di negeri ini khususnya Hospital Melaka.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, perkara itu bagaimanapun sudah diajukan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) supaya perkhidmatan kesihatan di negeri ini dapat segera ditambah baik.

“Di Melaka, kita memerlukan lagi sekitar 50 orang doktor baharu selain kira-kira 10 buah ambulans kita juga sudah uzur dan pernah rosak kerana sudah berusia lebih 10 tahun.

“Namun masalah kekurangan doktor ini sebenarnya turut dihadapi negeri lain yang lebih memerlukan berbanding Melaka tidak terlalu mendesak,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Media hari ini melaporkan, Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, penempatan segera pegawai perubatan baharu akan dilakukan di Hospital Melaka bagi mengatasi masalah kekurangan kakitangan sejak awal bulan ini.

Menurutnya, penempatan semula pegawai perubatan yang diserap secara lantikan tetap sedang dilaksanakan di semua fasiliti kesihatan di seluruh negara selepas keperluan itu dikenal pasti Bahagian Sumber Manusia KKM.

Ngwe Hee Sem

Semalam tular di media sosial tentang surat pekeliling bertarikh 30 Jun lalu berhubung pelan KKM mengatasi kelewatan masa menunggu dan rawatan pesakit di Unit Kecemasan Hospital Melaka.

Ia disebabkan penempatan semula ramai pegawai perubatan hospital tersebut ke fasiliti kesihatan lain setelah diserap secara lantikan tetap mulai 1 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, nisbah terkini penduduk kepada doktor di Melaka ialah 450 bagi seorang doktor berbanding di peringkat kebangsaan 1:454.

Manakala nisbah katil kepada penduduk di Melaka pula ialah 2.5 katil bagi setiap 1,000 penduduk. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast