Punithan bersama Hamzah pada mesyuarat sulung Jawatankuasa Khas Masyarakat India baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Teka teki hala tuju bekas Ketua Pemuda MIC Selangor, P. Punithan yang bertindak meninggalkan parti itu selepas bersama hampir 15 tahun baru-baru ini hampir terjawab.

MalaysiaGazette difahamkan, Punithan telah menerima tawaran sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Khas Masyarakat India Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi jawatankuasa itu akan dipegang oleh Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menurut sumber, sejurus selepas mesyuarat tertinggi PN di adakan Isnin ini, Hamzah atau Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka akan secara rasmi mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Masyarakat India itu.

“Buat masa ini, kita telah buat satu mesyuarat sulung pada Khamis lepas. Semuanya berjalan dengan lancar, rata-rata pemimpin yang akan menganggotai jawatankuasa ini adalah dalam kalangan penyokong gabungan ini.

“Mereka juga bekas-bekas pemimpin dari parti lain selain pertubuhan bukan kerajaan dan lain-lain,” kata sumber yang sama hari ini.

Menurutnya, objektif jawatankuasa itu untuk meneliti dan menjuarai isu-isu berkaitan masyarakat India.

“PN merasakan perlunya jawatankuasa ini yang bukan sahaja akan melahirkan pemimpin dalam kalangan masyarakat India untuk diketengahkan oleh gabungan ini pada Pilihan Raya Umum umum kelak sebaliknya ini lebih kepada menyelesaikan segala macam isu pada masa depan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jawatankuasa ini turut melihat penyertaan pimpinan India dari parti Gerakan, DHPP Pas dan sayap bersekutu Bersatu.

Baru-baru ini dalam satu temuramah dengan sebuah akhbar harian Tamil, Hamzah mengakui PN akan mengetengahkan lebih banyak muka-muka muda pemimpin India pada masa akan datang dan itu juga antara objektif penubuhan jawatankuasa ini.

“Hakikatnya PN percaya dengan kuasa pengundi India di negara ini yang mampu menaikkan atau menjatuhkan sebuah parti atau gabungan dalam pilihan raya. Pengundi muda khasnya amat menyedari krisis yang melanda komuniti mereka.

“Harapnya selepas ini masyarakat India akan sedar dan akan mengambil keputusan terbaik siapakah layak mengemudi dan menjuarai kebajikan serta perjuangan mereka. Bukan lagi janji-janji retorik demi dapatkan undi sahaja,” kata Hamzah dalam temuramah tersebut.

Sebelum ini, MalaysiaGazette pernah melaporkan PN difahamkan sedang membuat ‘tawaran’ buat beberapa pemimpin yang keluar parti terutamanya MIC untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas masyarakat India bagi terus memperkasakan komuniti itu.

Inisiatif ini yang digerakkan Hamzah itu mendapat ‘restu’ daripada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas menyedari kepentingan undi kaum India di negara ini. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PN tawar Jawatankuasa Khas Masyarakat India kepada bekas pemimpin MIC?