Baddrol Bakhtiar

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mempunyai kelebihan untuk menarik pengundi muda sekiranya pemain bola sepak, Baddrol Bakhtiar menjadi salah seorang calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos ini.

Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, bagaimanapun penglibatan Baddrol sebagai calon PN masih tidak dapat dipastikan, lapor Sinar Harian.

“Saya tidak tahu mengenai hal berkenaan kerana tidak terlibat dengan jawatankuasa pemilihan calon.

“Kalau betul dia (Baddrol) menjadi calon, ia satu merupakan satu pemilihan yang baik kerana ada pengaruh dan boleh menarik anak muda terutamanya di Kedah,” katanya.

Malah, Wan Ahmad Fayhsal berkata, jika perkara itu telah diputuskan oleh pimpinan, ia bukanlah satu tindakan yang merugikan sebaliknya menjadi kelebihan buat PN di Kedah.

Sebelum ini, khabar angin mendakwa Baddrol berkemungkinan besar akan diumum sebagai calon PRN atas tiket PN di Kedah.

Spekulasi itu hangat diperkatakan apabila Sabah FC mengumumkan Baddrol,35, akan meninggalkan pasukan itu, namun tidak memaklumkan secara terperinci.

Setakat ini belum ada pengumuman rasmi mengenai hala tuju bekas pemain kebangsaan itu dan penyokong juga turut tertanya-tanya sama ada benar Baddrol bakal menjadi calon PRN nanti. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast