Antara aksi-aksi yang ditunjukkan pemain dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, malam tadi. Gambar: Facebook Selangor FC

KUALA LUMPUR – Selangor FC berjaya memperoleh tiga mata penuh hasil kemenangan ke atas Penang FC 3-0, dalam saingan Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya, malam tadi.

Pada awal permainan, kedua-dua pasukan mempamerkan permainan agak perlahan dengan beberapa percubaan berjaya dilakukan, namun gagal menghasilkan sebarang gol.

Namun, Selangor berjaya mendahului pada minit ke-29 hasil jaringan pemain import Jordan, Noor Al-Rawabdeh menewaskan penjaga gol pasukan pelawat, Azfar Arif Sukri.

Di babak kedua perlawanan, kemasukan Richmond Boakye ternyata mengubah rentak permainan Selangor selepas pemain import Ghana itu mencetak gol kedua pasukan pada minit ke-59.

Kemahiran menggelecek Mohamad Faisal Abdul Halim di dalam kawasan kotak penalti pada minit ke-78 kemudian berhasil diterjemahkan kepada gol menewaskan penjaga gol Penang FC sekali gus menyaksikan Selangor terus selesa mendahului sehingga ke akhir perlawanan.

Kemenangan perlawanan ke-12 Selangor menyaksikan pasukan itu masih kekal di tangga kedua liga dengan 37 mata selepas 17 perlawanan manakala Penang FC tangga ke-10 dengan 19 mata.

Sementara itu, di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras di sini, Kuala Lumpur (KL) City FC gagal memanfaatkan kelebihan di halaman sendiri selepas terikat 1-1 menentang Negeri Sembilan FC.

KL City membuka jaringan pada minit ke-59 selepas Romel Morales menanduk tepat hantaran lintang rakan sepasukan di dalam kawasan kotak penalti pihak lawan.

Kegembiraan KL City, bagaimanapun, tidak kekal lama apabila diragut Zainal Abidin Jamil yang menyamakan kedudukan pada masa kecederaan.

KL City menghuni tangga keenam liga dengan 25 mata dengan Negeri Sembilan di tempat kesembilan dengan 20 mata.

Dalam pada itu di Sabah, tuan rumah mengutip tiga mata selepas membenam Sri Pahang FC 4-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

Skuad Sang Badak tidak perlu menunggu lama bagi membuka jaringan pendahuluan menerusi Darren Lok pada minit kesembilan diikuti Ramon Machado pada minit ke-43.

Babak kedua perlawanan, gawang gol Sri Pahang terus dibolosi apabila Darren menambah jaringan pada minit ke-64 sebelum Stuart Wilkin melengkapkan gol keempat Sabah selang lima minit kemudian.

Sabah merekodkan kemenangan ke-10 selepas 17 perlawanan untuk menghuni tangga kelima dengan 33 mata manakala Sri Pahang memiliki kelebihan satu mata untuk menduduki tangga keempat. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast