Mohd Hafez dibawa keluar dari kamar mahkamah selepas membuat pengakuan bersalah dan didenda sebanyak RM100,000 oleh hakim hari ini.

KUANTAN – Mahkamah hari ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM100,000 terhadap seorang bekas eksekutif bahagian keselamatan dan kebakaran Petronas Chemicals MTBE selepas tertuduh mengaku bersalah atas dakwaan  menggunakan invois palsu berjumlah RM41,760 berhubung pembayaran peralatan keselamatan kebakaran.

Hukuman tersebut diputuskan oleh Hakim Datuk Ahmad Zamzani di Mahkamah Seksyen 2 di sini turut yang turut mengenakan syarat penjara dua bulan kepada tertuduh jika gagal membayar denda.

Mohd Hafez Manap, 38, dari Sungai Karang Darat di sini mengaku  bersalah atas pertuduhan pilihan keempat.

Tertuduh  didakwa melakukan kesalahan itu membabitkan invois dengan butiran palsu bagi pembayaran pembekalan pelbagai peralatan keselamatan kebakaran yang tidak pernah dibekalkan.

Dalam kertas pertuduhan pilihan keempat, tertuduh dengan curangnya telah menggunakan sebagai tulin satu dokumen iaitu satu Invois atas nama M&F Limitless Resources berjumlah RM41,760.00 bertarikh 11 Mac 2021.

Mohd Hafez didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan hukuman dipenjarakan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Tertuduh berkemeja biru cair tenang membuat pengakuan bersalah juga merekodkan sembilan pertuduhan lain juga yang diakui Mohd Hafez dilakukan di pejabatnya di kawasan Perindustrian Gebeng di sini antara 26 Januari hingga 21 September 2021.

Mohd Hafez diwakili peguambela Ridha Abduh Subri memohon hukuman dicadangkan sebanyak RM80,000 atas faktor kewangan kerana dia masih belum bekerja selepas dipecat pada April tahun lalu.

Tambah Ridha, pengakuan yang dibuat oleh Mohd Hafez sekali gus telah menjimatkan kos mahkamah dan penglibatan saksi dalam prosiding kes selain menjimatkan masa.

Ridha turut memohon pertimbangan mahkamah atas kesalahan pertama anak guamnya yang merupakan ketua keluarga yang masih menanggung seorang isteri, dua orang anak dan ibu bapa yang menghidap penyakit jantung serta kencing manis.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan hukuman denda  RM100,000 kepada mahkamah dengan mengambil kerugian iaitu yang ditanggung oleh Petronas berjumlah RM320,143 akibat perbuatan tertuduh.

Selain itu amaun denda dicadangkan berikutan  kekerapan kesalahan tersebut semakin meningkat dan mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam supaya mejadi pengajaran kepada tertuduh serta iktibar kepada masyarakat.

Setelah mengambil kira hujah kedua-dua pihak, hakim memutusan hukuman denda RM100,000 atas pengakuan bersalah pertuduhan pilihan dan kesemua sembilan pertuduhan lain yang diperakui oleh Mohd Hafez tidak boleh disabitkan semula kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast