Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) akan menjalankan siasatan lanjut berhubung isu seorang wanita mendakwa sebuah klinik kesihatan di Bentong gagal mengesan awal masalah anaknya yang meninggal dunia hari ini.

Menurut Pengarah Kesihatan, Datuk Nor Azimi Yunus, pesakit merupakan seorang kanak-kanak lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) berumur dua tahun enam bulan dengan penyakit lewat perkembangan global (GDD) dan Congenital Laryngomalacia.

“Pesakit telah dibawa oleh waris ke Klinik Kesihatan Lurah Bilut pada 12 Julai pukul 11.30 pagi dengan gejala cirit-birit sejak 11 Julai.

“Berdasarkan dokumentasi di klinik didapati pemeriksaan fizikal adalah normal dan tiada tanda-tanda pesakit mengalami dehidrasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, katanya, kanak-kanak itu telah dibenarkan pulang dengan rawatan ketika itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, waris kanak-kanak itu telah membawa pesakit ke klinik swasta pada hari yang sama dan diberi surat rujukan ke hospital.

“Pesakit didapati kritikal dan seterusnya dirujuk ke NICU Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada hari yang sama.

“Namun selepas lima hari rawatan didapati keadaan pesakit semakin kritikal dan beliau telah meninggal dunia pada 17 Julai 2023 (hari ini) pukul 9.34 pagi,” katanya lagi.

Dr Nor Azimi berkata, punca kematian kanak-kanak itu masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Ibu dakwa klinik kesihatan gagal kesan tanda awal masalah anaknya