Senator, Datuk Marzuki Yahya.- foto HAZROL ZAINAL, 02 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak pernah mengemukan cadangan untuk mengharamkan UMNO.

Setiausaha Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya berkata, Mahathir sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk membuat keputusan.

“Ada pandangan dan suara nak haramkan UMNO. Pendirian Mahathir sebagai perdana menteri waktu itu menyerahkan kepada ROS untuk selesaikan masalah itu.

“Tiada usaha atau cadangan daripada Mahathir untuk haramkan UMNO.

“Apa yang berlaku sebaliknya Anwar sendiri, atau daripada ahli parlimen atau pemimpin dalam PH yang menentang keputusan Mahathir menerima ahli parlimen daripada UMNO menyertai Bersatu, itu berlaku,” kata Marzuki kepada Malayadaily.

Tegasnya, Mahathir ketika itu berusaha untuk meletakkan perbezaan politik antara orang Melayu dan cuba untuk menyatukan etnik tersebut yang berpecah belah.

Beliau mengulas dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Dr. Mahathir dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berpakat untuk mengharamkan UMNO ketika mentadbir negara selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Marzuki berkata, tuduhan yang dibuat oleh Anwar bersifat semberono dan bermotifkan politik.

“Masa waktu lepas PRU14, usaha Mahathir adalah untuk tidak meletak perbezaan politik antara orang Melayu malah beliau cuba satukan orang Melayu tanpa mengira latar belakang politik, waktu itu.

“(Sedangkan) Anwar, merupakan perdana menteri yang tidak konsisten terutama dalam membawa wadah perjuangan sebenarnya di bawa PH.

“Kini beliau menjadi sebahagian daripada UMNO dan sebahagian parti lain menubuhkan kerajaan. Saya rasa ini bertentangan dengan prinsip yang beliau sampaikan kepada rakyat,” kata Marzuki.

Anwar dalam satu program di Kedah baru-baru ini mendedahkan, Mahathir dan Muhyiddin bertekad unuk mengharamkan UMNO.

Bagaimanapun percubaan itu berjaya digagalkan oleh beliau dan pemimpin Pakatan Harapan lain termasuk Lim Guan Eng dan Datuk Seri Mohamad Sabu.

“UMNO ada sejarah sendiri, sejarah perjuangan kebangsaan, ini parti ibu bapa saya. Saya beza pendapat, tapi haramkan itu bukan penyelesaian. Kita tak boleh padam sejarah, alasan apa nak haramkan?” kata Anwar.

Beliau berkata demikian, pada Jelajah Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah, baru-baru ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Setiausaha Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya ini buta kayu atau sudah hilang ingat kot…Kan Atok yang minta Zahid Hamidi bubarkan Umno..Sidang media Tun Mahathir tempoh hari ada nyatakan bahawa beliau yang minta bubarkan yang bermaksud sama macam HARAMKAN..
    Setiausaha Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Marzuki Yahya rasa banyak minum air ketum itu sebab cepat pelupa..kan Tun pernah kata “Melayu Mudah Lupa”

Comments are closed.