KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu berhubung dakwaan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa yang dipercayai menyogok penguat kuasa serta terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Dalam masa yang sama, SPRM menerusi Op Jaguar juga telah mengenal pasti pegawai penguat kuasa yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan tersebut.

Menurut suruhanjaya itu, pihaknya sedang mengesan Sheikh Biman bin Sheikh Ahmad , 43, yang beralamat terakhir di No 53, Jalan Sama Gagah 15, Taman Telok Gedong Indah, 42000 Pelabuhan Klang, Selangor bagi membantu siasatan.

“SPRM sedang giat memperoleh maklumat dalam siasatan berhubung dakwaan sindiket penyeludupan dan pelupusan sisik tenggiling antarabangsa yang dipercayai turut menyogok penguat kuasa serta terbabit aktiviti pengubahan wang haram,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, SPRM menyeru orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lelaki tersebut supaya menghubungi pegawai penyiasat, Siti Norazirah Ramli di talian 03-88700249 atau 019- 8557290 atau emel kepada [email protected].

Semalam suruhanjaya tersebut menahan reman empat lelaki kerana disyaki terbabit menyogok penguat kuasa bagi menyeludup dan melupuskan sisik tenggiling serta terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram.

Turut dirampas hampir dua tan sisik haiwan itu yang bernilai kira-kira RM23.4 juta. –MalaysiaGazette