KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan serentak pada 12 Ogos depan di enam negeri merupakan manifestasi penting untuk rakyat menghantar mesej menolak Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat perlu memberikan isyarat kepada kerajaan mereka tidak gembira dengan prestasi ditunjukkan selepas lebih tujuh bulan memerintah.
“Apa yang kita dapat lihat, sehingga kini tidak ada satu dasar komprehensif dilakukan untuk membela rakyat sedangkan rakyat di bawah sana terus terbeban dan tertekan dengan kos sara hidup yang terus meningkat, harga barang yang naik dan terus naik, sedangkan kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula asyik bermain dengan retorik politik sahaja.
“Justeru saya menyeru agar gelombang kebangkitan rakyat ini diteruskan dan meminta rakyat tanpa mengira bangsa dan latar belakang untuk keluar melaksanakan tanggungjawab dengan mengundi calon-calon Perikatan Nasional pada 12 Ogos nanti,” katanya di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin beralasan rakyat kini berdepan dengan tekanan ekonomi dan memerlukan kerajaan mencari jalan untuk mengatasi perkara itu.
“Sekarang kita berhadapan dengan soal masalah besar, ini adalah berkisar tentang kelangsungan hidup rakyat. Rakyat nak hidup, nak ada makanan di atas meja.
“Ini yang sedang kita hadapi pada hari ini,” katanya dalam siri ceramah Jelajah Selangor Baharu di Sepang malam tadi.
Dalam siri jelajah berkenaan, Muhyiddin mengumumkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Jamil Salleh dipilih sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil.
Turut diumumkan Muhyiddin, calon bagi DUN Sungai Pelek, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali yang juga Ketua Bahagian Bersatu Sepang. – MalaysiaGazette