TEKUN juga menyediakan peruntukan RM330 juta termasuk dana RM10 juta untuk menyokong belia daripada latar belakang. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2023 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Februari lalu dianggap suatu rahmat bagi kumpulan belia dan golongan mahasiswa.

Inisiatif eBeliaRahmah yang dikreditkan ke dalam e-dompet paling banyak membantu penuntut universiti.

Bayaran sekali beri sebanyak RM200 seorang tersebut meringankan beban perbelanjaan mahasiswa yang masih bergantung kepada ibu bapa dan penjaga.

Kredit tersebut diberikan untuk digunakan bagi pembelian melalui QR e-dompet pilihan (Boost, Setel atau Touch ‘n Go eWallet) atau QR DuitNow.

Bagi mahasiswa Fakulti Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Syami Shamudin, 24, kredit RM200 eBeliaRahmah banyak membantu beliau yang mempunyai perbelanjaan besar untuk menyiapkan tesisnya.

Kerajaan memperuntukkan RM400 juta untuk inisiatif tersebut kepada kira-kira 2 juta belia 18 hingga 20 tahun atau mahasiswa sepenuh masa yang layak bagi menggalakkan transaksi tanpa tunai.

Selain program eBeliaRahmah, ada pelbagai inisiatif yang ditawarkan oleh Kerajaan Perpaduan. Antaranya MyLesen B2 yang terbuka kepada golongan belia B40 yang tersenarai dalam rekod data e-Kasih untuk mendapatkan lesen motosikal secara percuma.

Yang Di-Pertua Persatuan Mahasiswa Pulau Pinang Universiti Kebangsaan Malaysia, Uzair Mohamad Fadzli berkata, inisiatif berkenaan boleh mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan golongan muda.

“Apabila kerajaan mewujudkan inisiatif ini, bagi saya itu satu perkara yang boleh merancakkan ekonomi negara kerana kita membuka peluang pekerjaan kepada golongan belia.

“Malaysia perlukan pelbagai perancangan untuk sentiasa membuka peluang pekerjaan kepada belia yang turut bersaing dengan kemajuan teknologi seperti yang dialami sekarang. Perlu ada inisiatif yang relevan kepada belia,” katanya.

“Kerajaan meringankan beban rakyat sebab ada rungutan dan aduan yang kita dengar yuran lesen memandu ini dikatakan mahal. Bila diberikan inisiatif ini bagi saya ia satu langkah awal kerajaan yang bagus kerana mereka mendengar isi hati belia,” kata Uzair.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perindustrian, Ekonomi dan Keusahawan Majlis Belia Malaysia Datuk Syed Osman Mohamed berkata, Belanjawan 2023 atau Belanjawan Madani menggalakkan kelahiran lebih ramai usahawan muda.

Ini berikutan sejumlah RM1.7 bilion diperuntukkan kepada usahawan termasuk usahawan belia yang boleh mengakses pembiayaan melalui agensi seperti Bank Negara Malaysia, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan TEKUN Nasional (TEKUN).

Katanya, banyak bidang perniagaan yang boleh diteroka mengikut minat dan trend semasa.

“Ini bergantung kepada individu tersebut. Ada belia yang suka buka bengkel motor, kedai gunting rambut dan sebagainya. Kita kena ikut trend.

“Mereka perlu guna dana yang diberikan sebaik mungkin. Namun jangan lupa untuk membayar semula kerana ia kemudian boleh digunakan oleh belia lain untuk belanjawan akan datang,” nasihat beliau yang juga Naib Presiden MBM.

Sebanyak RM300 juta daripada peruntukan yang disediakan adalah bagi menyokong perniagaan mikro yang dimiliki usahawan wanita dan belia.

TEKUN juga menyediakan peruntukan RM330 juta termasuk dana RM10 juta untuk menyokong belia daripada latar belakang yang kurang berkemampuan supaya mereka boleh menjana pendapatan melalui inisiatif perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

Peluang telah disediakan oleh kerajaan kini terserah kepada belia untuk merebut dana dan inisiatif yang disediakan.

Untuk maklumat lanjut tentang manfaat Belanjawan 2023, layari laman sesawang https://belanjawan.mof.gov.my/manfaat/ – MalaysiaGazette