BALIK PULAU – Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti dan menjalankan siasatan berhubung dakwaan tangan bayi berusia dua bulan mengalami bengkak dan bernanah selepas menerima rawatan di Hospital Melaka.

Menterinya, Zaliha Mustafa berkata, bukan semua kes boleh diletakkan di bawah ‘medical legal’ adakalanya ia berlaku disebabkan prosedur biasa.

“Sebenarnya kita kena tengok juga kes yang bagaimana, bukan semua kes boleh diletakkan di bawah ‘medical legal’ adakalanya is disebabkan prosedur biasa.

“Contoh bengkak tangan akibat daripada prosedur-prosedur injection (suntikan) itu adalah biasa dan kita akan beri rawatan yang sepatutnya kepada pesakit,” katanya selepas merasmikan Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau, di sini, hari ini.

Zaliha meninjau bangunan baharu Jabatan Kecemasan Hospital Balik Pulau hari ini.

Semalam media melaporkan, seorang lelaki mendakwa tangan anak saudaranya berusia dua bulan mengalami bengkak dan bernanah ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka (HM) baru-baru ini.

Individu dikenali sebagai Mohamad Izwan telah memuat naik posting di media sosial yang mendakwa keadaan tangan bayinya itu berubah ketika mendapatkan rawatan demam campak.

Susulan itu, Exco Kesihatan Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem menggesa pihak Hospital Melaka menyiasat dakwaan terbabit.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai insiden seorang kanak-kanak kelainan upaya meninggal dunia di sebuah hospital di Pahang, Zaliha berkata, siasatan dalam berhubung kes itu sedang dilakukan.

“Bagi kes di Pahang, kenyataan telah dikeluarkan Jabatan Kesihatan Pahang (JKNP), media boleh rujuk,” katanya.

Terdahulu, JKNP memberi jaminan untuk menyiasat dan mengambil tindakan lanjut berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun enam bulan yang tular di media sosial semalam.

Pengarah JKNP, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, punca kematian kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) dengan penyakit lewat perkembangan dan congenital laryngomalacia juga masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette

Hospital Melaka diarah siasat dakwaan tangan bayi bengkak ketika rawatan