Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menyeru ahli dan penyokong parti itu supaya menghormati undang-undang susulan penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut meminta agar ahli dan penyokong parti itu agar kekal bertenang.

“Pas mengikuti dengan cermat perkembangan kes melibatkan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah, yang dilaporkan telah ditahan oleh pihak PDRM untuk didakwa di mahkamah hari ini.

“Pas menyarankan semua pihak, khususnya para ahli dan penyokong, supaya bertenang dan menghormati proses perundangan,” katanya dalam kenyataan ringkas pagi ini

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dilaporkan ditahan kira-kira pukul 3 pagi tadi di bilik penginapannya di sebuah hotel di ibu negara.

Artikel berkaitan:

Terdahulu beliau menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi PN di Publika sebelum pulang ke hotel kira-kira jam 11.40 malam.

Beliau yang ditahan di bawah Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak dipercayai bagi menghadapi pendakwaan di Mahkamah Selayang pagi ini.

Muhammad Sanusi dalam ceramahnya minggu lalu menimbulkan kontrovesi selepas mendakwa Sultan Kedah tidak akan melantik individu seperti Datuk Seri Amirudin Shari sebagai menteri besar.

Semalam Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menganggap kenyataan Muhammad Sanusi dalam satu ceramah sebagai menghina instiusi diraja.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin beranggapan kenyataan Muhammad Sanusi juga mempertikaikan kewibawaan baginda memilih menteri besar.-MalaysiaGazette