Ahmad Samsuri Mokhtar

MARANG – Tiada senarai calon “import” yang akan diketengahkan oleh Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, bagaimanapun perkara itu masih belum dimuktamadkan dan tidak menolak kemungkinan keputusan itu boleh berubah.

“Calon ramai buat masa ini, keputusan akhir kita tengah perhalusi lagi. Nama penyandang ketika ini iaitu Datuk Ahmad Amzad Hashim ada dalam senarai buat masa ini … sehari dua lagi kita putuskan,” katanya selepas hadir ke Majlis Pecah Tanah Kompleks Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu di sini hari ini.

Pada 27 Jun lepas, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas pihak pempetisyen, Datuk Mohd Zubir Embong yang juga calon Barisan Nasional (BN) berjaya membuktikan wujudnya elemen rasuah ketika kempen Ahmad Amzad pada pilihan raya itu.

Pas memutuskan tidak membuat rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dijalankan serentak dengan PRN di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor pada 12 Ogos.

Dalam PRU14, Pas membentuk Kerajaan Negeri Terengganu setelah memenangi 22 kerusi DUN, manakala 10 lagi kerusi dimenangi BN. – Bernama