KUALA LUMPUR – Orang ramai khususnya warga Selangor disaran supaya memuat turun laporan pentadbiran Kerajaan Selangor sepanjang lima tahun pentadbiran menerusi pautan amirudinshari.com.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kad laporan pencapaian kejayaan kerajaan negeri yang dicapai sejak 2018 kini dipapar di pautan tersebut.
“Lima tahun Selangor makmur dan gemilang. Alhamdulillah, sukacita saya melancarkan Kad Laporan Pencapaian dan Kejayaan Kerajaan Selangor bermula 2018 hingga 2023.
“Rakyat Selangor, media dan semua masyarakat dijemput memuat turun laporan berkenaan pentadbiran negeri sepanjang lima tahun ini,” ciap beliau di Twitternya.
Laporan prestasi itu katanya, meliputi beberapa segmen seperti ekonomi, kebajikan, sumbangan Selangor kepada Malaysia, menangani krisis kesihatan dan bencana serta sumbangan anak syarikat.
Bagi segmen ekonomi pula, paparan merangkumi sumbangan negeri kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, prestasi hasil dan belanjawan dari 2019 hingga 2023.
Turut terangkum ialah Iltizam Selangor Penyayang, usaha Selangor memerangi pandemik Covid-19, banjir besar pada Disember 2021 dan Rancangan Selangor Pertama (RS-1). – MalaysiaGazette