Hasnul Baharuddin

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) kawasan Kuala Langat mula bergolak apabila membantah cadangan menamakan Hasnul Baharuddin mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Morib pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan depan.

Ketuanya, Mohd Safiee Harun berkata, semua peringkat dalam parti berpendapat calon muka baru yang lebih segar dan berwibawa perlu diketengahkan di kawasan tersebut dalam menggalas tanggungjawab membela rakyat.

“Lebih-lebih lagi (dalam keadaan) suasana politik negara berubah kepada trend politik baharu yang lebih terbuka dan pantas,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Mohd Safiee, wakil rakyat khususnya bagi DUN tersebut sebaiknya berkhidmat selama dua penggal sahaja dan beliau yakin Amanah tidak ketandusan pelapis kepimpinan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Hasnul mengekalkan penguasaan di Ddewan Undangan Negeri (DUN) Morib apabila menang dengan majoriti 2,117 undi menewaskan dua lawannya iaitu Rozana Kamarulzaman dari Barisan Nasional (BN) dan Dr Mohd Sallehudin Hafiz (Pas).-MalaysiaGazette