Polis melakukan kawalan ketat di kawasan kejadian tembakan di tengah-tengah bandar Auckland, New Zealand. foto Twitter

AUCKLAND – Dua maut selepas berlaku tembakan rambang di tengah-tengah bandar ini, beberapa jam sebelum Piala Dunia Wanita Fifa membuka tirainya.

Enam individu lain termasuk anggota polis cedera.

Lelaki yang dipercayai melepaskan tembakan menggunakan senapang patah turut maut dalam kejadian yang berlaku pada jam 7.22 pagi di tapak pembinaan di kawasan pusat perniagaan.

Perdana Menteri Chris Hipkins berkata, serangan itu bukan tindakan pengganas.

“Tiada motif politik atau ideologi dalam kejadian serangan ini,” katanya.

Terdahulu, Datuk Bandar Auckland mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya tinggal di rumah dan mengelakkan perjalanan ke bandar.

Brown berkata, ada kejadian ‘mengerikan’ berlaku di bandar tersebut.

Polis pula berkata, mereka mendapat laporan tentang seseorang melepaskan tembakan senjata api di dalam tapak pembinaan dan lelaki bersenjata itu bergerak melalui bangunan dan terus melepaskan tembakan.

Lelaki itu kemudian masuk ke dalam lif sebelum polis berdepan dengannya.

Tembakan kedengaran selepas itu sebelum dia ditemui mati.

Susulan kejadian tembakan itu, polis mengepung kawasan pusat perniagaan yang tidak jauh dari kawasan pantai.

Dalam pada itu, kejohanan Piala Dunia Wanita Fifa terus berjalan seperti yang dirancang,

Perlawanan pembukaan akan menyaksikan pertemuan pasukan New Zealand dan Norway di Eden Park di bandar ini.

Menteri Sukan Grant Robertson memberi jaminan polis tambahan akan ditempatkan di kawasan berkenaan.

Piala Dunia Wanita kesembilan itu sedang dihoskan bersama oleh New Zealand dan Australia. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast