Menara Felda Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Penghapusan sejumlah hutang peneroka dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) tanpa penyaluran peruntukan geran daripada Kerajaan Persekutuan pada 2021 serta 2022.

Disebabkan itu, ia memberikan impak besar kepada aliran tunai serta prestasi Felda.

Menurut Felda, perjanjian bagi Akaun Rizab Perkhidmatan Kewangan (FSRA) yang ditandatangani oleh perdana menteri antara lain memberi ruang kepada agensi ini untuk menstruktur semula komitmen kewangan terhadap kadar faedah dikenakan dan pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Berikutan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun lalu telah menandatangani FSRA bagi penerimaan pertama geran RM990 juta setahun daripada Kerajaan Persekutuan untuk penebusan sukuk Felda.

“Perdana Menteri semasa Sambutan Hari Peneroka Felda pada 7 Julai lalu mengumumkan bermula tahun ini, Kerajaan Perpaduan meluluskan peruntukan sehingga RM990 juta setahun bagi membolehkan penebusan semula sukuk Felda, antara lain bagi membiayai hapus kira hutang peneroka agensi berkenaan.

“Secara keseluruhan, inisiatif itu melibatkan bantuan kewangan kepada Felda sebanyak RM9.9 bilion bagi tempoh 10 tahun,” menurut kenyataan itu.

Artikel berkaitan: Hutang Felda: Muhyiddin perlu minta maaf jika saya kemuka bukti – PM

Isu lupus hutang, Felda kena penjelasan elak kekeliruan peneroka – Tosrin

Janji kerajaan PN lupus hutang peneroka tidak ditepati – Shabery

Dokumen tersebut bukan perjanjian lupus hutang Felda – Marzuki

Tambah Felda, kenyataan Perdana Menteri telah disalah tafsir sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dengan janji kerajaan terdahulu untuk menghapuskan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion.

Anwar hari ini telah mengemukakan sebahagian dokumen yang ditandatanganinya bagi penghapusan hutang peneroka Felda pada 26 Jun lalu.

Serentak itu, Anwar mahu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf berhubung fitnah berhubung isu ini.

Muhyiddin sebelum ini menuntut Anwar membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis susulan kenyataan berunsur fitnah mendakwa, hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 bilion tidak pernah dilupuskan di bawah pentabirannya.

Tuntutan tersebut dikemukakan dalam surat bertarikh 18 Julai menerusi firma guaman Rosli Dahlan Saravana Partnership.

Menurut surat berkenaan, firma guaman tersebut berkata, permohonan maaf kepada anak guam mereka, iaitu Muhyiddin perlu disiarkan di akaun Facebook Anwar, semua laman web serta platform di mana kenyataan fitnah tersebut disiarkan.

Pada masa sama, Muhyiddin menerusi firma guaman itu menuntut agar Anwar menarik balik semua kenyataan fitnah tersebut dan memadamkan semua penyiaran kenyataan fitnah dalam tempoh sama selepas menerima surat berkenaan. – MalaysiaGazette

Anwar kemuka dokumen dituntut Muhyddin