Mayat Bah Mail Pak Gendet dihantar oleh pihak polis ke Unit Forensik Hospital Lipis bagi tujuan bedah siasat hari ini

KUANTAN – Setelah 11 hari misi pencarian seorang warga emas Orang Asli dilaporkan hilang dalam hutan, polis hari ini menemukan mayat mangsa yang hanya tinggal rangka di Lipis, Pahang.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, jasad Bah Mail Pak Gendet, 76, ditemukan cukup sifat pada jam 1.05 petang pada jarak kira-kira 10 kilometer beliau dilaporkan hilang.

”Proses pengecaman mayat dilakukan oleh anak mangsa berdasarkan penemuan cincin, baju, parang, dan serangkai  kunci rumah berdekatan lokasi kejadian.

”Mayat mangsa ditemukan kira-kira 10 kilomenter dari Pusat Kawalan Tempat kejadian (PKTK) ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Chekai, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Betau, di Lipis,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN :

Orang Asli hilang dalam hutan

Operasi mencari Orang Asli hilang dalam hutan ditangguhkan

Mayat mangsa dibawa keluar oleh pasukan penyelamat dan dihantar ke Hospital Lipis bagi bedah siasat.

Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan mangsa berasal dari Kuala Lipis dan masuk ke dalam hutan mencari hasil hutan dan dilaporkan tidak pulang  sejak 9 Julai lalu. – MalaysiaGazette