Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia sudah menerima lapan laporan polis daripada pelabur yang mendakwa telah diperdaya dalam pendanaan awam oleh pemilik kelab bola sepak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua laporan itu telah dibuat oleh mangsa-mangsa dari dua negeri.

“Empat laporan diterima di Kontinjen Johor manakala empat lagi di Kuala Lumpur.

“Polis kini sedang giat menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jika disabitkan kesalahannya boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan juga denda.

Semalam, seramai tujuh individu dan sebuah syarikat yang diwakili peguam dari Firma Akmal Shamsul Kahar & Co tampil mengadakan sidang media di ibu negara dan mendakwa mengalami kerugian hampir RM900,000 selepas melabur dalam beberapa syarikat milik usahawan perhotelan dan produk makanan terkenal itu termasuk The Red Warriors FC (TRW FC) Berhad.

Kebanyakan mangsa yang membuat pelaburan selepas tertarik iklan tawaran pelaburan di Facebook (FB) sejak tahun 2020 mendakwa, tidak menerima pulangan daripada pelaburan itu.

Mereka juga mendakwa tidak menerima sebarang laporan kewangan beraudit dan tidak dipanggil mesyuarat agung tahunan (AGM), selain tiada penjelasan lanjut mengenai pelaburan mereka.

Kesemua mangsa juga telah membuat tujuh laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk tindakan lanjut.-MalaysiaGazette