BAYAN LEPAS – Sekumpulan ahli perniagaan termasuk bergelar Datuk mendakwa mengalami kerugian lebih RM32 juta akibat diperdaya seorang pengarah syarikat menerusi kerjasama penubuhan parti politik baharu, pada Pilhan Raya Umum-15 lalu.
Selain itu, ada dalam kalangan mereka mendakwa menjadi mangsa penipuan pelaburan serta pinjaman wang dengan individu sama.
Rata-rata mereka mendakwa lelaki bergelar Datuk itu menjanjikan peruntukan RM4.5 juta kepada setiap calon Parlimen parti berkenaan kononya ia dana Raja-Raja Melayu.
Difahamkan seramai 160 calon terpedaya dengan individu tersebut membabitkan kerugian sekurang-kurangnya RM200,000 seorang.
Mangsa, Mohamed Mahyuddin Tajuddin, 63, mendakwa dia mengalami kerugian RM500,000 akibat diperdaya pengarah syarikat itu berhubung pelantikan wakil rakyat di Hulu Selangor di bawah parti tersebut.
Jelasnya, dia juga dilantik sebagai timbalan penaja parti itu dan mengikut individu berkenaan ke seluruh negara bagi pelaksanaan kerjasama tersebut.
“Saya diminta untuk menguruskan pelaksanaan serta melakukan kertas kerja bagi beberapa projek yang dijanjikan namun selepas seminggu dia memberi pelbagai alasan termasuk tidak boleh bertanding susulan Pendaftar Pertubuhan (RoS) tidak meluluskan penubuhan parti tersebut.
“Sehingga laporan ini dibuat, tiada sebarang rundingan dibuat berhubung perkara tersebut dan saya rasa diperdaya sebab itu tampil buat laporan.
“Semakan juga mendapati bukan saya saja menjadi mangsa lelaki itu malah orang lain turut berdepan situasi sama,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, lima individu daripada seluruh negara tampil membuat laporan menjadi mangsa penipuan seorang pengarah syarikat di Balai Polis Bayan Baru di sini.
Menurut, bekas calon bebas di Melaka, Datuk Kamisan Palil, 38, kehidupannya berubah selepas namanya serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang diuruskan terpalit dengan kerjasama penubuhan parti tersebut.
Katanya, dia hilang pendapatan sebagai pembekal kelapa muda dalam negara serta luar negara disebabkan janji manis ditaburkan sebagai calon dari parti berkenaan.
Jelasnya, dia bersama beberapa rakannya berjumpa dengan individu berkenaan yang konon meminta bertanding di beberapa kerusi Parlimen di Melaka.
“Individu itu mendakwa segala kos pertandingan akan ditanggung olehnya. Jadi untuk persiapan pertandingan di Parlimen Jasin, saya menggunakan wang sendiri sebagai pendahuluan berjumlah RM150,000.
“Selepas itu, saya menghubungi individu tersebut namun semua panggilan tidak dijawab dan dia turut mengundur diri dalam semua grup aplikasi WhatsApp.
“Saya tidak puas hati dengan tindakannya termasuk bimbang orang lain menjadi mangsa penipuan lelaki ini membuatkan saya tampil membuat laporan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Norhisham Nasrom, 40, berkata, dia mengalami kerugian hampir RM500,000 bukan sahaja diperdaya untuk dijadikan calon Parlimen Bagan Serai, Perak malah individu itu turut meminta pinjaman secara peribadi.
Katanya, dia percaya dengan kata-kata individu berkenaan susulan lelaki itu mendakwa keturunan Kerabat Diraja Negeri Sembilan serta cicit Yang di-Pertuan Agong pertama.
“Sekarang ini bukan wang yang menjadi pertikaian saya, ia lebih kepada maruah selaku pengerusi Pertubuhan Kebajikan Penyatuan Malaysia yang mana selama ini telah banyak bantuan demi kesejahteraan rakyat saya lakukan.
“Selain itu, saya juga tidak mahu orang lain menjadi mangsa penipuan individu ini kerana impaknya mengubah kehidupan seseorang hingga ada dalam kalangan rakan yang bankrup.
“Kami harap mangsa lain turut tampil buat laporkan agar siasatan lanjut dapat dilakukan pihak berkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette