MELAKA – Dua lelaki bersaudara didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan menipu penjualan beras tidak wujud bernilai RM132,000, minggu lalu.
Tertuduh, Goh Ching Jin, 30, dan Goh Kim Chai, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua sepupu itu didakwa telah menipu Ng Keok Kun, 36, dengan memperdaya beliau dalam tawaran penjualan beras yang tidak wujud dan telah mendorong mangsa memindahkan wang sebanyak RM132,000.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada pukul 9.30 pagi 10 Julai lalu di pasar raya Lotus Cheng dalam daerah Melaka Tengah.
Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan bolehlah juga dikenakan denda mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa, Asisten Supritendan Nora Yaacob mencadangkan setiap tertuduh dikenakan jaminan sebanyak RM20,000.
Peguam K. Ponnusamy bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan kedua-dua anak guamnya hanya bekerja sebagai penjual air soya selain menanggung anak-anak yang masih kecil.
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dan menetapkan tarikh 23 Ogos sebagai sebutan semula kes. – MalaysiaGazette.