Hannah menyerahkan replika geran padanan sukan berjumlah RM1 juta kepada Nur Azmi

MELAKA – Lebih banyak persatuan sukan di negara ini digesa menganjurkan kejohanan bertaraf dunia bagi meningkatkan lagi prestasi atlet mereka.

Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh berkata, kerajaan telah menyediakan geran padanan sukan berjumlah sehingga RM1 juta bagi tujuan itu.

Usaha itu juga, jelasnya, sejajar dengan permintaan atlet negara yang mahukan platform penganjuran sukan pada peringkat antarabangsa untuk mengukur prestasi mereka di peringkat dunia.

“Sebab itu, kita wujudkan geran padanan sukan ini keseluruhannya berjumlah RM40 juta untuk bantu persatuan sukan yang menjadi penganjur sekali gus membantu atlet kita memperbaiki ranking mereka.

“Seperti dalam sesi libat urus yang telah kita anjurkan, ramai atlet mahukan lebih banyak lagi platform seperti ini untuk mereka mengukur prestasi,” katanya.

Hannah Yeoh

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sidang media pada Kejohanan Karate Asia ke-19 dan Kejohanan Para Karate Asia edisi ke-2 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat merasmikan kejohanan itu yang diiringi Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Hadir sama Presiden Persekutuan Karate Sedunia (WKF) Antonio Espinos, Presiden Persekutuan Karate Asia (AKF) Mej. Jen. Nasser Alrazooqi dan Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) Datuk Nur Azmi Ahmad.

Terdahulu, Hannah mengumumkan pemberian dana geran padanan maksimum sebanyak RM1 juta kepada MAKAF berbentuk reimbursement (tuntutan bayaran balik) selepas penganjurannya.

“Dengan adanya geran padanan ini saya berharap karate (MAKAF) akan menganjurkan lebih banyak lagi kejohanan bertaraf dunia seperti ini di Malaysia.

“Geran sebegini juga diharap boleh membantu sektor industri (sukan) yang lain dalam negara,” katanya.

Seramai 388 daripada 32 negara termasuk penyandang juara keseluruhan, Jepun, akan bersaing pada Kejohanan Karate Asia ke-19 itu yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini. – MalaysiaGazette