RAUB – Parti keramat, UMNO sering kali menjadi serangan pihak pembangkang sehingga menggelarkan kerajaan hari ini merupakan Kerajaan UMDAP walaupun umum mengetahui tuduhan tersebut tidak berasas.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail tidak menafikan UMNO berterusan menjadi mangsa serangan pembangkang kerana mereka menyedari kekuatan akar umbi UMNO dari dahulu sehingga kini, terutama menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menteri Besar Pahang itu juga berharap kemenangan menyebelahi Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang sekali gus meletakkan harapan kepada 108 calon BN yang akan bertanding nanti dapat memenangi PRN pada Ogos ini.
”Harapan kita kemenangan Kerajaan Perpaduan, bertanding secara sihat, kita akan beri persaingan walaupun negeri berkenaan bukan ditadbir BN.
”Kita telah mengetengahkan calon yang berupaya dan berwibawa, jadi diharapkan rakyat negeri terlibat membuat pilihan yang tepat untuk mewakili mereka,” katanya selepas merasmikan Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2023 di Perkarangan Tapak Sehari Dong di Raub, petang tadi.
Tambah Wan Rosdy, kerajaan yang ada sekarang adalah Kerajaan Perpaduan dengan menjunjung perintah Yang di-Pertuan Agong selepas pembentukan Kabinet tidak dapat dilakukan susulan tiada parti politik bertanding yang mendapat majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15) lalu.
Jelasnya, kegagalan mana-mana parti membentuk kerajaan adalah merugikan ketika itu, apatah lagi membiarkannya tergantung.
Walau bagaimanapun katanya, BN bersedia bekerjasama dengan pihak yang boleh melindungi empat prinsip yang dipertahankan oleh parti itu.
Empat prinsip itu ialah memelihara agama Islam, institusi diraja, Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan, dan hak orang Melayu sejajar dengan prinsip UMNO kita pertahankan,” katanya. – MalaysiaGazette