KUALA LUMPUR – Rakyat Sarawak selayaknya menikmati hasil limpahan kekayaan ekonomi serta pembangunan yang sama adil dan saksama dengan warga Semenanjung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah seperti pepatah Melayu, “berdiri sama tinggi, duduk sama rendah”.
Menurut beliau, tumpuan Kerajaan Perpaduan adalah bagaimana dapat dinoktahkan kemiskinan tahun ini.
“Ini tentunya akan memberi manfaat kepada negeri Sarawak, serta jurang mesti dirapatkan demi kemakmuran dan kesejahteraan kita bersama.
“Mewakili pihak kerajaan, saya ucapkan Selamat Menyambut Hari Sarawak kepada seluruh rakyat Sarawak,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Sarawak mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British pada 22 Julai 1963.
Pada tarikh tersebut, Gabenor British yang terakhir, Sir Alexander Waddell secara simbolik menyerahkan kuasa pentadbiran Sarawak kepada rakyat melalui Ketua Menteri Sarawak yang pertama, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan. – MalaysiaGazette