SUNGAI BESAR – Rakyat Selangor diingatkan tidak salah memilih pemimpin supaya proses pembangunan di negeri ini terus berjalan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, peringatan itu mengambil kira Selangor adalah salah sebuah negeri yang maju di negara ini.
“Kalau ada pihak mengatakan Selangor maju kerana berdekatan dengan Kuala Lumpur bagaimana pula Kedah juga berdekatan dengan Pulau Pinang.
“Oleh itu rakyat jangan tersilap pilih pada 12 Ogos ini,” katanya ketika berucap di majlis Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Sentuhan Kasih Desa yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Stadium Sungai Besar.
Selangor merupakan sebuah negeri kubu kuat Pakatan Harapan (PH) sejak Pakatan Rakyat (PR) berjaya merampas negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) pada tahun 2008.
Terbaharu, dalam kenyataannya, Anwar mahu rakyat Selangor memberikan sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan, tanpa mengira pencalonan itu daripada PH atau BN pada PRN tidak lama lagi.
Menurutnya, PRN yang bakal dilalui enam negeri termasuk Selangor adalah medan kekuatan, dukungan kepada PH yang dinaungi PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) serta DAP, manakala BN adalah payung kepada UMNO selepas MIC dan MCA mengumumkan tidak bertanding.– MalaysiaGazette