Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dapatan bahawa Malaysia mempunyai kes kemalangan jalan raya ketiga paling tinggi di dunia tidak melambangkan kebenaran kerana kajian berkenaan hanya menggunakan data daripada negara tertentu.

Kajian yang tidak menyeluruh itu seterusnya meningkatkan kedudukan Malaysia dalam kes kemalangan, tetapi ia tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Laman FINN sebelum ini menyimpulkan Malaysia mempunyai kes kemalangan jalan raya ketiga teratas di dunia.

Walaupun menggunakan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), tetapi analisis berkenaan telah menyingkirkan negara tertentu yang mempunyai data tidak lengkap.

Berdasarkan statistik WHO yang merangkumi 183 negara pula, Malaysia berada di tangga ke-57 dari segi kes kemalangan jalan raya, iaitu di belakang negara seperti Vietnam, Korea Utara, Sudan dan pelbagai negara Afrika.

Pakar pemodelan statistik keselamatan jalan raya, Profesor Madya Dr. Law Teik Hua ketika dihubungi China Press berkata, walaupun kedudukan Malaysia tidak teruk berbanding negara lain, tetapi soal nyawa tidak harus dipandang remeh.

Jelas pensyarah Universiti Putra Malaysia itu, kes kemalangan jalan raya di negara-negara Afrika adalah lebih tinggi kerana kekurangan infrastruktur jalan raya yang baik.

“Kes di negara lain memang jauh lebih tinggi, tetapi kita tidak harus melihat dari sudut ini seakan-akan tiada masalah di Malaysia.

“Hakikatnya, jika dibandingkan dengan Singapura dan Filipina pula, keadaan di Malaysia tidaklah sebaik mana pun,” katanya.

Menurutnya, statistik polis menunjukkan secara purata terdapat 16 hingga 18 orang yang meninggal dunia di jalan raya Malaysia setiap hari atau seorang mati setiap 90 minit.

“Daripadanya, 60 peratus adalah membabitkan penunggang motosikal,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia justeru perlu mewujudkan satu kaedah untuk mengawal selia motosikal dan cara paling efektif adalah membezakan laluan motosikal daripada kereta.

“Sudah tentu ada kaedah jangka panjang dan jangka pendek. Yang pasti, kita tidak boleh menunggu lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast