Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) mengimamkan solat jenazah Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, Johor. Foto MUHD NA'IM, 24 JULAI 2023.

PONTIAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan solat jenazah ke atas Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot di sini pagi ini.

Beliau turut berkesempatan mengimamkan solat jenazah yang disertai ahli-ahli politik, saudara-mara, rakan taulan dan masyarakat setempat kira-kira pukul 11 pagi.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertanian dan Kerterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) berdoa dan mengimamkan solat jenazah Datuk Seri Salahuddin Ayub sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat, Johor. Foto MUHD NA’IM, 24 JULAI 2023.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.

Turut dilihat berada di masjid, kepimpinan parti politik tanah air antaranya Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng; Naib Pengerusi Amanah, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin.

Lebih 1,000 orang ramai hadir ke masjid bagi memberi penghormatan terakhir buat allahyarham.

Terdahulu, sebelum ketibaan Anwar, solat jenazah turut diimamkan anak sulung Salahuddin, Iskandar Zulkarnain, 37, yang mana difahamkan ia antara permintaan terakhir allahyarham.

Jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong Serkat, Tanjung Piai di sini sebelum Zohor.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Salahuddin Ayub meninggal dunia