ART Day 2023 melakar sejarah apabila dihadiri lebih 5,000 pengunjung yang memenuhi kawasan pit.

KUALA LUMPUR – Acara sukan automotif, Adrenaline Rush Track Day 2023 (ART Day 2023) telah diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya menganjurkan perarakan secara serentak yang terdiri daripada 650 buah kereta berkuasa tinggi dan kereta sport.

Berlangsung di Paddock Utara, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini, acara itu turut disertai 312 motosikal Harley Davidson yang hadir daripada seluruh negara termasuk negara jiran, Singapura.

ART Day 2023 yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Kelab U-Supercars juga melakar sejarah apabila dihadiri lebih 5,000 pengunjung yang memenuhi kawasan pit bagi menyaksikan dengan dekat himpunan pelbagai kereta dan motor berkuasa tinggi.

Penaung Kelab U-Supercars, Datuk Marof Khan Mohamed Idris berkata, penubuhan kelab itu bagi berkongsi minat, pengalaman dan kepakaran yang mereka miliki dalam industri automotif.

“Melalui program sosial dan riadah yang berfaedah kepada masyarakat, selain menyemarakkan semangat setia kawan dalam kalangan ahli Kelab U-Supercars melalui aktiviti seperti konvoi, pameran kereta dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan.

ART Day 2023 erlangsung di Paddock Utara, Litar Antarabangsa Sepang.

ART Day 2023 yang menampilkan Utama Motors sebagai penaja utama pada acara sama turut mengadakan majlis pelancaran Kelab U-Supercars dan Kelab PEKEMA Auto secara rasmi.

Sementara itu, Pemangku Presiden, Persatuan Pengimport & Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, PEKEMA Auto Club adalah penjenamaan semula daripada kelab yang dahulunya dikenali sebagai PEKEMA Riders Club dengan tujuan untuk memperluaskan keahlian kelab bukan sahaja kepada motosikal malah kepada kereta.

Beliau berkata, dalam usaha untuk menggalakan penggunaan kenderaan elektrik di kalangan masyarakat, penubuhan PEKEMA kelab itu diharao dapat memberi pendedahan dan berkongsi kepakaran dengan ahli-ahli kelab tentang teknologi kenderaan elektrik.

“Perhimpunan seperti ART Day 2023 ini menjadi landasan untuk mengukuhkan ukhwah, perpaduan dan keharmonian di kalangan ahli-ahli komuniti kelab automotif.

Semoga lebih banyak program sebegini dapat diadakan setiap tahun bagi memberi peluang kepada peminat-peminat kereta berkongsi minat dan bertukar pendapat di samping merasai pengalaman memandu dalam suasana trak bertaraf antarabangsayang lebih selamat berbanding di jalan raya,” katanya.

ART Day 2023) diiktiraf Malaysia Book of Records .

Sementara itu, ART Day 2023 turut mendapat sokongan kelab-kelab automotif seperti Malaysia Singapore Supercar Club, Mustang Club Malaysia, Northern Speedo, TerMeetup Club dan Majlis Belia Malaysia.

Turut sama berkongsi pengalaman menyertai perarakan terbesar itu adalah beberapa orang selebriti tanah air antaranya Datuk AC Mizal, Roy Azman dan Shamsul Ghau-Ghau.

ART Day 2023 juga berjaya mendapat sokongan pemain-pemain industri automotive tempatan antaranya SMI Cars, FS Bikes, Carlist.my dan KOPETRO Retail dan SUKE TV.

Selain berpeluang melihat sendiri secara dekat keunikkan kereta dan motor berkuasa tinggi serta kereta sport, pengunjung telah dihiburkan dengan persembahan tanpa henti selama empat jam oleh Ayu Damit, Baby Shima, Fareed K Cliquedan DJ Fuzz yang dihoskan oleh penghibur Hilmi Gimik dan Acad Raja Lawak. – MalaysiaGazette