GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perlis mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang menyebabkan pencemaran Sungai Kubang Tiga, Padang Besar baru-baru ini.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya kesal walaupun kejadian itu sudah lama berlaku tetapi tindakan yang diambil agak lambat menyebabkan kesannya ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk di sini menjadi bertambah serius.
Jelas beliau, hukuman setimpal dengan kesalahan perlu dibuat berdasarkan peraturan yang termaktub mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.
“Siasatan JAS Perlis mendapati masalah pencemaran Sungai Kubang Tiga di sini berpunca daripada pelepasan air larut resap (leachate) dari Tapak Pelupusan Sinatari Rimba Emas menyebabkan air sungai itu tercemar, bertukar warna menjadi hitam dan berbau.
“Sebelum ini air sungai itu boleh digunakan untuk mandi dan orang ramai menjalankan aktiviti penangkapan ikan tetapi sekarang tidak lagi boleh berbuat demikian.
“Malah petani yang menggunakan air sungai ini bagi tanaman mereka juga mengalami kerugian kerana hasil pendapatan berkurangan sejak pencemaran ini berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohideen, Jabatan Pertanian juga perlu membuat penilaian berhubung hasil tanaman petani di situ yang terjejas dan memberi pampasan kepada mereka bagi meringankan beban akibat kerugian selama ini.
“Pemantauan yang kerap dan berterusan perlu dilakukan bagi memastikan syarikat yang terbabit mengurus tapak pelupusan itu sudah mengambil tindakan dengan sempurna supaya alam sekitar dikawasan berkenaan selamat dan kehidupan penduduk tempatan tidak lagi terancam.
“Kita mohon JAS, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendedahkan tindakan undang-undang yang diambil ke atas pihak yang menyebabkan masalah itu berlaku termasuk tahap kualiti air sungai berkenaan,” kata beliau. – MalaysiaGazette