Presiden Kebangsaan Nambikkai, Datuk Dr. Kalai Vanar bercakap pada sidang media mengenai isu pembebasan segera tahanan yang meringkuk di penjara Sungai Buloh dan penjara Sungai Petani tanpa sebarang bicara ketika di Restoran Madras Cafe, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 25 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Seramai 69 tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang kini ditahan di Penjara Sungai Buloh dan Sungai Petani akan melancarkan mogok lapar pada 30 Julai ini.

Presiden Kebangsaan Nambikkai, Datuk Dr Kalai Vanar berkata, ia sebagai mesej kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail agar mengotakan janji untuk membebaskan tahanan atau memansuhan akta itu.

Akta yang sepatutnya dimansuhkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih gagal ditunaikan sehingga kini, dakwanya.

“Mohon jasa baik Perdana Menteri dengar atas dasar keprihatinan, bebaskan segera tahanan SOSMA yang merengkuk dalam penjara selama tiga tahun setengah di Penjara Sungai Buloh dan Sungai Petani.

“Ahli keluarga tahanan SOSMA ini menggunakan undang-undang di mahkamah, tapi masih tak berdaya. Sebelum PRU15, calon yang kini ahli Parlimen sudah bersumpah kononnya tahanan SOSMA akan dibebaskan dan Akta SOSMA akan dimansuhkan.

“Tapi sampai sekarang masih tidak ditunaikan,” katanya pada sidang media di Madras Cafe di sini hari ini.

Selain itu, ahli keluarga kepada 69 tahanan juga akan melancarkan mogok yang sama di lokasi yang berbeza pada 31 Julai ini.

“Keluarga (tahanan SOSMA) pun akan buat mogok lapar pada 31 Julai ini supaya menteri yang hebat berkokok di pentas tunaikan janji mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast