KUALA LUMPUR – Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Reka Bentuk dan Pembuatan Perabot) dengan Kepujian dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya meraih tempat kedua dan ketiga bagi kategori Reka Bentuk Produk dalam Pameran Reka Bentuk Dalaman Antarabangsa (INDEX 2023).

Nur Hazwani Ibrahim dan Lee Yi Wen, menempatkan diri dalam kelompok tiga terbaik di antara 300 lebih jumlah penyertaan.

INDEX merupakan sebuah aktiviti Pameran Projek Pelajar Tahun Akhir yang dianjurkan oleh Program Reka bentuk Dalaman, Universiti Kristen Petra (PCU).

Ianya merupakan sebuah acara rasmi tahunan yang melibatkan beberapa buah negara di peringkat antarabangsa, bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar khususnya tahun akhir daripada negara-negara yang terlibat untuk lebih berani ke peringkat global.

 

INDEX pada tahun ini diadakan sebagai satu bentuk kerjasama antara Universiti Kristian Petra, Sunway Universiti Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Kristian Chung Yuan Taiwan, dan Universiti Tokyo Zokei.

Acara tahunan ini telah berlansung pada 18 hingga 23 Julai 2023 di Ciputra World Mall, Surabaya, Indonesia secara hybrid.

Antara aktivitinya adalah seminar dalam talian yang melibatkan penceramah jemputan dari Indonesia, Malaysia, dan Taiwan.

Kemuncak acara adalah sesi Anugerah Super Juri yang merupakan sebuah sesi untuk pelajar membentangkan rekaan mereka secara atas talian bertujuan mendapatkan maklum balas di hadapan juri yang terdiri daripada tenaga pakar Universiti dan negara yang berbeza.

Nur Hazwani Ibrahim yang meraih tempat ketiga dalam pameran ini menampilkan projek pelajar tahun akhirnya iaitu troli.

Rekaannya bertujuan menangani masalah yang dihadapi oleh pengguna semasa berulang alik dari dapur ke ruang makan. Ianya tertumpu kepada pengguna yang mahukan ruang makan kelihatan kemas tanpa gangguan peralatan atau perkakas di atas meja.

Manakala Lee Yi Wen, meraih tempat kedua pula, mengenengahkan projek sarjana muda berkaitan Meja Ruang Kerja. Rekaan beliau bertujuan untuk meningkatkan fungsi dan keselesaan ergonomik meja ruang kerja untuk meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan pekerja.

INDEX 2023 juga memilih Wirdawati Waladi pelajar UTHM sebagai salah seorang daripada enam finalis untuk kategori Reka Bentuk Produk.

Sebagai rekod INDEX 2022, Chua Chooi Foong, merupakan pelajar UTHM yang pernah mendapat tempat ketiga dalam acara tahunan tersebut. – MalaysiaGazette