Fadzli Mohamad Kamal

KUANTAN – Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini seharusnya memberi fokus utama bagi menaik taraf Kelantan ke ‘Liga Super’ bukan sekadar selesa dalam ‘Liga Bawahan’.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong,  Fadzli Mohamad Kamal menyelar kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah yang mengheret Pahang kononnya turut berada sama di kancah ‘Liga Bawahan’ juga.

Bagi Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, tiada keperluan langsung untuk Naib Presiden Pas  itu membandingkan Kelantan dan Pahang.

”Saya terkilan dengan kenyataan Mohd Amar Abdullah kelmarin yang menyamakan kemajuan pembangunan Kelantan dengan Pahang.

”Sepatutnya Mohd Amar lebih fokus kepada menyampaikan manifesto Pas Kelantan,” katanya.

Tambah Ketua Penerangan UMNO Pahang itu,  tindakan Amar  umpama ‘menepuk air di dulang’ itu dikesali kerana secara langsung mendedahkan kelemahan pentadbiran kerajaan negerinya sendiri.

Beliau  tidak berhasrat untuk membandingkan Kelantan dengan Pahang namun ingin berkongsi lima perkara yang telah dicapai di Pahang dalam masa terdekat ini.

”Satu, peningkatan kutipan hasil pendapatan negeri Pahang yang konsisten tahun demi tahun dan telah pun melepasi RM1 billion pada tahun 2022, kemudian kejayaan menarik pelaburan bernilai melebihi RM20 bilion pada tahun 2022.

”Ketiga, pengurangan hutang kerajaan negeri yang signifikan daripada RM3.31 bilion (sebelum tahun 2018) kepada RM952.21 juta setakat tahun 2022,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu Fadzli berkata, prestasi Pahang boleh diukur dejayaan penyaluran bantuan dan program kebajikan kepada rakyat berjumlah RM77.95 juta pada tahun 2022.

Dan terkini menurut beliau, pada Jun lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyenaraikan Pahang di kedudukan negeri ketiga terbaik di Malaysia atas kejayaan merekodkan pertumbuhan ekonomi pada kadar 10.8 peratus iaitu selepas Pulau Pinang (13.1%) dan Selangor (11.9%).

Fadzli melihat kenyataan Mohd Amar seakan-akan cuba merendahkan kemajuan dicapai Negeri Pahang.

Bagaimanapun, katanya, statistik pencapaian  menceritakan segala-galanya dan menegaskan bahawa setiap negeri mempunyai keunikan masing-masing.

”Saya berharap agar permainan politik persepsi seperti ini dihentikan. Jika tidak tahu menari, janganlah dikatakan lantai jongkang-jongket.

”Demografi berbeza, geografi juga berbeza. Menarilah mengikut rentak masing-masing. Di Pahang, kami menari ikut rentak Joget Pahang dan paling utama kedudukan ’liga’ kita tak sama.

”Fokuslah di Kelantan, jangan nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” katanya – MalaysiaGazette