Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Perhimpunan Perdana Batin dan Penghulu Orang Asli Bersama Pemimpin Tahun 2023 ketika di Summit Hotel USJ, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 26 JULAI 2023.

SUBANG JAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan penubuhan parti orang asli sebagai cubaan pihak tertentu untuk memecah-belahkan masyarakat berkenaan.

Tegasnya, pihak tidak bertanggungjawab itu dilihat sebagai usaha untuk memberi gambaran negatif tentang kerajaan kepada komuniti tersebut.

Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa beliau tidak akan membiarkan usaha berkenaan berjaya.

“Mereka masuk dengan pelbagai tujuan, harapan, kononnya membawa pembangunan dan kemajuan tetapi saya lihat ada udang di sebalik batu, tambah pula ada parti khas untuk orang asli kononnya.

“Kita kena beritahu pihak penaja, pembiaya dan penganjur yang menggunakan parti itu yang kita akan noktahkan usaha pecah belahkan oleh parti politik itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Perdaba Batin/Penghulu Orang Asli Bersama Pemimpin malam ini.

Walau bagaimanapun Ahmad Zahid yakin masyarakat orang asli tidak akan terpengaruh dengan dakyah yang dibawa oleh pihak tersebut.

“Jika ada badan bukan kerajaan (NGO) yang menganggu tuan dan puan untuk memecahkan perpaduan dalam kalangan tuan dan puan, beritahu saya, saya tahu bagaimana untuk menguruskan mereka,” tambah beliau.

Ahmad Zahid memaklumkan beliau tahu pihak yang menggerakkan parti berkenaan, namun tidak mendedahkannya.

Dalam pada itu itu, beliau menafikan dakwaan mengatakan kerajaan ingin menghapuskan  Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

Sebaliknya, beliau yang juga  Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu memberi jaminan akan memastikan akta tersebut akan dijadikan sebagai platform memperkasakan masyarakat Orang Asli dalam negara.

“Terdapat isu mengenai semakan Akta 134 iaitu akta berkaitan dengan orang asli. Ada pihak yang mengatakan kononnya kerajaan mahu menghapuskan akta ini.

“Langkah mayat saya dahulu kalau ada manaa-mana pihak yang mahu menghapuskan akta ini, kami telah melakukan usaha memperkasakan kepentingan orang asli ini dan memperkasakan Akta 134,” tambahnya.

Jelasnya, pelbagai usaha digerakkan oleh kerajaan demi memastikan pindaan akta berkenaan memberikan manfaat kelada masyarakat Orang Asli dalam pelbagai aspek.

Ujar beliau, kerajaan sentiasa komited untuk menjaga kepentingan orang asli dalam negara merangkumi pendidikan, infrastruktur, ekonomi dan banyak lagi.

Baru-baru ini dilaporkan Pendaftar Pertubuhan (RoS) telah meluluskan pendaftaran parti orang asli.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pendaftar Pertubuhan dah lulus parti orang asli yang busuk hati ZAHID HAMIDI dah kenapa? suruh langkah mayat dia pulak dah… bersumpah atas NAMA ALLAH pun ZAHID langgar inikan pula orang ASLI… kena trolls lagi… Zahid Zahid apa yang boleh menginsafkan ANDA? ada orang kena stroke SENGET mulut dia sebab langgar sumpah..

Comments are closed.