Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiring pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi perbicaraan kes pengubahan wang haram dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 26 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak memohon supaya Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang sedang mendengar kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion supaya menarik diri.

Collin yang merupakan Hakim Mahkamah Tinggi ketika kes berlangsung telah dinaikkan pangkat kepada Hakim Mahkamah Rayuan, baru-baru ini.

Peguam yang mengetuai pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan membuat permohonan rasmi dalam masa terdekat.

Difahamkan permohonan ini dibuat Najib selepas pengakuan Collin ketika perbicaraan pada petang semalam bahawa beliau pernah bekerja di firma guaman yang sama, Zain & Co bersama-sama dengan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.

Collin yang membuat pendedahan itu semalam menyatakan bahawa beliau pernah menjadi rakan kongsi Jasmine hampir 15 tahun dulu.

Jasmine yang merupakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB, melarikan diri untuk beberapa tahun ditahan pihak berkuasa apabila beliau kembali ke Malaysia.

Kata Muhammad Shafee, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Najib pada pagi ini tentang permohonan itu sebelum memaklumkannya kepada mahkamah.

“Kami sedang pertimbang untuk memfailkan permohonan agar Yang Arif menarik diri daripada terus mendengar perbicaraan ini. Pendedahan oleh Yang Arif semalam bukan sahaja mengejutkan saya, sebaliknya anak guam saya.

“Untuk makluman, nama Jasmine Loo ini telah disebut sebanyak 656 kali sepanjang 167 hari perbicaraan,” katanya di hadapan Collin.

Menurut Muhammad Shafee, pihaknya berpendapat tidak kira sama ada Jasmine akan dipanggil sebagai saksi atau tidak, penglibatan Collin bersama Jasmine hampir 15 tahun dahulu boleh dijadikan sebab untuknya menarik diri.

“ Yang Arif pernah menjadi rakan kongsi dalam firma guaman yang sama, adalah baik untuk Yang Arif pertimbang untuk menarik diri,” ujarnya.

Sejurus selepas itu, Collin berkata, beliau akan mempertimbangkan perkara itu selepas permohonan rasmi oleh pembelaan dilakukan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan pasukannya belum mendapat arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung perkara tersebut. – MalaysiaGazette