Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiriingi timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiusaha Negara, Tan Sri Zuki Ali selepas Peluncuran Ekonomi Madani : Memperkasa Rakyat di Suruhanjaya Sekuriti, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 27 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Ekonomi Madani berteras memperkasa rakyat yang dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuktikan Perdana Menteri komited untuk mendepani kemelut ekonomi negara dengan lebih realistik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia dijangka memberi sedikit kelegaan kepada rakyat yang masih bergelut dengan kelangsungan hidup sepanjang pasca pandemik Covid-19.

“Saya amat teruja dengan apa yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Menteri Kewangan.

“Ianya menterjemahkan selama ini apa yang telah beliau bentangkan di dalam beberapa pidato dan juga ucapan-ucapan politik.

“Ini kerana rakyat mengharapkan apa bentuk pelaksanaan yang dilakukan, jelas pada hari ini beberapa pelaksanaan terhadap perancangan baharu,” katanya kepada pemberita di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat yang diumumkan Perdana Menteri hampir dua jam.

Turut hadir, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan membentangkan secara terperinci Ekonomi Madani menerusi kementeriannya, Isnin ini.

“Saya sendiri sebagaimana yang diumumkan ini akan membentangkan agenda terperinci Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada Isnin ini, bagaimana pelaksanaan pada apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Ahmad Zahid berharap konsep Ekonomi Madani ini mampu memacu pertumbuhan ekonomi dengan lebih baik, sekaligus meletakkan Malaysia pada kedudukan tertinggi di rantau Asia.

“Ianya sudah tentunya tidak boleh dilaksanakan Perdana Menteri seorang, tapi perlu dibantu oleh semua ahli jemaah menteri, kementerian serta agensi yang terlihat di seluruh negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast