Fared mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankluasa Penyelarasasn Tindakan Pembeterasan Ajaran Sesat Sihulk.

JOHOR BAHRU — Kerajaan Johor menubuhkan Jawatankuasa Penyelarasan Tindakan Pembanterasan Ajaran Sesat Sihulk sebagai usaha memerangi fahaman yang telah difatwakan sesat sejak 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, jawatankuasa itu melibatkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Tujuan kita cuma satu untuk merangka tindakan bersepadu bagi membanteras ajaran SiHulk ini.

“Kita telah meneliti dan mendapat nasihat dari PDRM dan SKMM yang membolehkan gerak kerja di peringkat penguatkuasa dan jabatan pendakwaan dimulakan dengan lebih teliti,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Penyelarasan Tindakan Pembanterasan Ajaran Sesat Sihulk di Pusat Islam Iskandar Johor, di sini.

Mohd Fared berkata, JAINJ bersedia menerima laporan daripada masyarakat bagi memastikan siaran berkaitan ajaran menyeleweng itu di media sosial dikenal pasti seterusnya diambil tindakan segera dan dipadamkan.

“Kita mendapat kerjasama penuh daripada PDRM dan SKMM. Kita juga mendapat kerjasama yang baik daripada JIM di mana mereka akan mengenal pasti pergerakan keluar masuk individu-individu yang kita dapati terlibat dengan ajaran SiHulk. Jauhi semua kandungan video dan paparan berkenaan ajaran SiHulk,” katanya.-MalaysiaGazette