Muhammad Fauzi.

KEPALA BATAS – “Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas sangat special (istimewa) dan ia akan diumumkan pimpinan pusat Perikatan Nasional (PN) esok,” ujar Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff.

Jelas beliau, tanggungjawab pengumuman calon itu diambil peringkat pusat susulan mahu mententeramkan pengikut parti khususnya dalam kalangan Pas.

“Calon bagi DUN Bayan Lepas akan diumumkan pimpinan peringkat pusat esok dan tuan-tuan sudah dengar macam-macam spekulasi, jadi esok dengar sendiri keputusan itu secara rasmi daripada PN.

10 calon Pas termasuk tiga daripada mereka daripada DHPP akan bertanding pada PRN15 bagi DUN Pulau Pinang.

“Dia (Dominic) Presiden parti bukan orang biasa-biasa jadi sudah tentu dia mahu diumumkan pada peringkat pusat.

“Kami peringkat negeri tak umum malam ini sebab ia istimewa sangat, ntah-ntah jadi berubah tak tau lah kan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon PN di Markas Pas Pongsu Seribu di sini, lewat malam tadi.

Ketika diminta mengulas dakwaan ada ahli akar umbi tidak puas hati sekiranya Dominic dicalonkan di Bayan Lepas, Muhammad Fauzi menegaskan, semua parti mempunyai perbezaan pandangan namun ia menjadi tanggungjawab pimpinan atasan untuk menyelesaikannya demi memastikan objektif semua calon PN menang tercapai.

Seramai 39 calon mewakili PN Pulau Pinang bagi PRN15 diumumkan malam tadi.

“Semua parti ada isu tidak puas hati bila datang soal calon kerana dalam kalangan kita sudah lama buat kerja di kawasan tertentu tetapi tidak dinamakan sebagai calon.

“Orang (ahli) nak boikot itu biasa bila wujud perasaan marah dan tidak puas hati tepati sebagai pimpinan kita mengambil tanggungjawab untuk mententeramkan pengikut kita.

“Namun perlu diingatkan Pas kini adalah gabungan daripada tiga parti dan semestinya bukan semuka tempat kita boleh bertanding berbanding PRU14 iaitu sebanyak 21 kerusi kita pertaruhkan calon,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Muhammad Yusoff memaklumkan jentera parti bekerja keras untuk memastikan semua 10 kerusi ditandingi Pas menang pada PRN kali ini.

“Kalau tanya target (sasaran) kita mau 10 kerusi ditandingi itu menang tetapi dalam masa sama kita tak mahu over confidence (terlalu yakin) yang penting kita kerja keras untuk dapatkan sokongan rakyat demi memastikan kemenangan kepada semua calon yang kami kemukakan malam ini,” jelas beliau.

Terdahulu, PN Pulau Pinang mengumumkan 39 calon PRN15 untuk dipertaruhkan di 40 kerusi DUN negeri.

Bagaimanapun, kerusi bagi DUN Bayan Lepas tidak diumumkan dan dalam senarai yang diedarkan kepada media, nama Dominic dicalonkan bagi kerusi tersebut. – MalaysiaGazette