KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes kematian isterinya disyaki dipukul di sebuah pangsapuri di Sungai Long Kajang, Selangor pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, suspek dikenali sebagai Mohamed Imran Mohamed berusia 32 tahun dan alamat terakhir suspek di B-11-11, Apartment Sutera Pines, Jalan Sutera Pines, Sungai Long, Kajang.
Dalam kenyataannya, beliau berkata, pihak polis menerima panggilan telefon daripada jururawat sebuah hospital swasta yang memaklumkan menerima seorang pesakit wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 12.15 tengah malam.
Wanita itu tidak sedarkan diri dan disyaki telah meninggal dunia.
“Pemeriksaan awal oleh pegawai perubatan hospital tersebut mendapati terdapat kesan cedera dan lebam di seluruh badan mangsa yang berusia 38 tahun,” ujarnya.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan mendapati terdapat kecederan di keseluruhan badan si mati.
“Pakar patalogi mengesahkan punca kematian adalah akibat dipukul objek tumpul sehingga mengakibatkan kecederaan dalaman yang serius.
“Bagaimanapun motif pembunuhan masih dalam siasatan,” jelasnya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.
Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Asisten Superintenden R K Umesh di talian 012-6114900 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette