JEMPOL – Kerajaan akan membentangkan cadangan pembinaan Lebuhraya Seremban- Jempol dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bulan depan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat memahami kepentingan mewujudkan lebuh raya berkenaan pada masa hadapan.
“Tapi saya faham tentang Lebuhraya Madani Seremban- Jempol, dan insya-Allah dalam kajian separuh penggal (RMK-12) akan dibentangkan.
“…Lebuhraya ini mahal, tapi saya faham ia akan membantu mengangkat tahap kehidupan rakyat dan oleh itu insya-Allah diluluskan.
“Dalam masa setahun kalau ekonomi kita meningkat daripada sekarang ini insya-Allah kita akan bina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Segalanya
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Dataran Seri Jempol, Feldajaya Selatan, Felda Wilayah Raja Alias, Negeri Sembilan, di sini petang ini.
Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Shaberry Cheek.
Terdahulu, Aminuddin berkata, jajaran laluan lebuhraya berkenaan sudah pun selesai dan hanya menunggu kelulusan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette