Mohd Yusni (kiri), Khaliq Mehtab (tengah) dan Zulkifli merupakan penyandang yang kekal bertanding di kerusi masing-masing pada PRN15 di Pulau Pinang.

KEPALA BATAS – Tiga penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang kekal mempertahankan kerusi mereka pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Ogos depan.

Mereka terdiri daripada penyandang kerusi DUN Penaga, Mohd Yusni Mat Piah (Pas), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) yang kedua-duanya daripada daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dua calon Bersatu tersebut antara ADUN yang diarah keluar meninggalkan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Mac lalu selepas usul pengosongan kerusi disandang mereka diluluskan.

Antara nama lain yang dicalonkan pada PRN kali ini, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff bagi DUN Sungai Dua, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong (Pantai Jerejak) dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri, Zulkifli Bakar (Penanti).

Tong Keong (kiri) dan Muhammad Fauzi antara calon PN Pulau Pinang.

Pengumuman calon itu dibuat Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada Majlis Pengumuman Calon PN Pulau Pinang di Markas Pas negeri di Pongsu Seribu di sini, malam tadi.

Hadir sama, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai.

Turut ditampilkan pada PRN kali ini, Ketua Armada Bersatu Bahagian Permatang Pauh, Izhar Shah Arif Shah yang akan bertanding di DUN Seberang Jaya.

Izhar Shah merupakan anak kepada bekas ADUN Seberang Jaya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah yang menyandang kerusi berkenaan selama dua penggal dari 2004 hingga 2013.

Secara keseluruhan Gerakan menampilkan seramai 19 calon muka baharu dan lama termasuk seorang wanita bagi DUN Datuk Keramat pada PRN kali ini.

Heng See Lin (tengah) satu-satunya calon wanita mewakili PN Pulau Pinang.

Bersatu pula, meletakkan seramai 11 calon manakala Pas pula mempertaruhkan 10 orang wakil termasuk tiga calon daripada Dewan Himpunan Penyokonng Pas (DHPP).

Sementara itu, dalam senarai yang diedarkan kepada media, nama Dominic dicalonkan bagi kerusi DUN Bayan Lepas namun ketika pengumuman dibuat, Ronald tidak menyebut butiran berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast