K Devan

KUALA NERUS – Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 dengan Terengganu FC (TFC) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam tadi.

Beliau memuji anak buahnya yang mempamerkan semangat juang tinggi walaupun berdepan pasukan lebih kuat sehingga berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit terakhir sekali gus membawa pulang satu mata dari tempat lawan.

“Kita perlu akui pasukan Terengganu lebih baik, lebih menyerang dan lebih banyak peluang jaringkan gol.

“Tetapi saya harus beri pujian kepada mereka kerana mampu bertahan dengan baik, fokus dan berdisiplin sehingga minit terakhir permainan,” katanya.

Dalam aksi di hadapan lebih 5,000 penyokong tuan rumah itu, TFC terlebih dahulu menghasilkan gol pada minit ke-66 hasil jaringan pemain import kelahiran Coratia Ivan Mamut sebelum pelawat menyamakan kedudukan menerusi Herold Goulon pada minit ke-89.

Sementara itu, pengendali TFC Tomislav Steinbruckner mengakui kecewa kerana pasukannya masih gagal mencipta kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut.

Beliau juga tidak berpuas hati kerana anak buahnya berjaya mencipta banyak peluang dalam setiap perlawanan tetapi gagal diterjemahkan ke bentuk jaringan akibat ketumpulan jentera serangan.

“Kita mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol…tapi ia tidak berhasil. Saya rasa kita tewas kerana kita hanya menghasilkan pada lewat perlawanan,” katanya. – Bernama