PULAU PINANG: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menyasarkan
15 syarikat Rakan Usahawan PUNB dalam bidang automotif untuk menyertai Program Petronas AutoExpert pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, setakat ini terdapat lima Rakan Usahawan PUNB dalam bidang automotif telah menyertai program ini yang mula diperkenalkan pada tahun lalu.
Menurutnya, Program Petronas AutoExpert ini adalah kerjasama PUNB dengan Petronas
Lubricants Marketing Malaysia Sdn Bhd (PLMMSB) bagi membolehkan Rakan Usahawan PUNB menjalankan perniagaan bengkel kenderaan berkonsep di bawah jenama syarikat minyak utama Malaysia itu.
“Setakat ini, lima Rakan Usahawan PUNB sudah menyertai program ini, manakala yang
terbaharu ialah Prima First Auto Sdn Bhd (PMASB) di Bayan Lepas, Pulau Pinang. Malah, bengkel Petronas AutoExpert yang pertama di Malaysia iaitu Autohaus KL yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam adalah Rakan Usahawan PUNB.
“Melihat kepada maklum balas yang positif, PUNB terus menyokong program ini untuk
menambah bilangan Rakan Usahawan PUNB menyertai program Petronas AutoExpert, sekali gus membantu menaik taraf bengkel usahawan Bumiputera ke suasana yang lebih kondusif,” katanya dalam kenyataan di Majlis Perasmian Petronas AutoExpert, Prima First Auto Sdn Bhd di Bayan Lepas, di sini, hari ini.
Izwan berkata, dalam Program Petronas AutoExpert, bengkel Rakan Usahawan PUNB
yang layak akan dibantu dari aspek pembiayaan perniagaan untuk dinaik taraf menjadi pusat servis sehenti yang menyediakan sokongan kepakaran serta capaian dari sudut sistem dan kelengkapan termaju termasuk pelincir.
Jelasnnya, selain itu, mereka yang menjadi rakan niaga Petronas AutoExpert akan menerima latihan, sokongan pemasaran, program dagangan serta rundingan bagi pembangunan perniagaan daripada Petronas.
Majlis Perasmian Petronas AutoExpert @Jawi Tyre & Workshop disempurnakan oleh Tun Ahmad Fuzi Bin Haji Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri
Pulau Pinang. – MalaysiaGazette