Fahmi Fadzil. Foto MOHD ADZLAN, 23 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Digital tidak pernah terlibat dengan usaha melarang atau mengharamkan media sosial yang membuat pengisian secara melampau.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, dakwaan individu tertentu bahawa beliau terlibat secara langsung dalam larangan itu ke atas akaun media sosial beberapa pimpinan politik, tidak benar sama sekali.

“Sebagai menteri, saya tidak berniat untuk mengharamkan Tiktok dan saya tak lakukan apa-apa tindakan pun untuk menyekat atau melarang mana-mana akaun media sosial milik ahli politik.

“Tetapi, Sanusi (Menteri Besar Kedah) anggap sayalah orang yang menyekat akaun TikTok dia. Papagomo ingat sayalah yang larang akaun dia, begitu juga blogger Raja Petra dan Ratu Naga, semua anggap saya. Bukan.

“Bukan Fahmi Fadzil. TikTok sendiri yang larang. Mereka ada peraturan dan akan menyekat mana-mana akaun yang membuat pengisian melampau,” katanya berucap pada program Pentas Geng Perpaduan di TheStrand Kota Damansara, dekat sini, malam tadi.

Menurut Fahmi, semua tindakan itu tidak terkecuali termasuk akaun media sosial milik pimpinan mahupun penyokong kerajaan sekali pun.

Katanya, beliau juga turut menyampaikan peringatan itu kepada semua jentera Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) agar tidak sekali-kali menyentuh isu 3R dalam media sosial masing-masing.

“Saya ulang kali ingatkan kepada semua, dalam kehangatan kita berkempen, jangan sesekali sentuh isu perkauman, agama dan raja.

“Peranan media sosial seperti TikTok, Facebook, Youtube dan lain-lain medium sangat penting kepada parti politik.

“Kita lihat, bagaimana musuh parti kita sewaktu PRU15 November lalu memanfaatkan sepenuhnya semua platform ini,” katanya.

Justeru, beliau juga berharap jentera PH-BN terutama Geng Perpaduan menggunakan sebaik mungkin medium itu untuk melawan balik fitnah musuh, tetapi dengan mengelakkan daripada menyentuh isu 3R.

“Tugas kita berat, perjalanan dalam perjuangan ini masih jauh. Kita ada 11 hari lagi tempoh berkempen dan kita kena pastikan kita tahu tugas dan fungsi kita.

“Semua jentera, sama ada yang muda mahupun berumur dan otai perlu masuk ke gelanggang TikTok. Kita mesti hadir, lawan balik semua fitnah yang musuh kita lontarkan, jangan kita menyerah kalah. Masuk, tawan dan tewaskan mereka di TikTok.

“Kalau musuh kita sentuh, mempergunakan isu agama keterlaluan, tuduh kita musuh Allah, kalau tak undi parti mereka, masuk neraka, kalau mereka panggil kita dajjal, ini semua keterlaluan, kita harus buat laporan, kita ambil tindakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette